Tips Dan Cara Elak Rogol

rogol

Tips Dan Cara Elak Rogol Daripada Polis Diraja Malaysia

Kejadian rogol boleh berlaku kepada sesiapa sahaja khususnya kaum HAWA. Tidak ketinggalan juga kanak-kanak yang baru hendak meningkat dewasa. Si pelaku pula akan bertindak sekiranya ada peluang dan ruang diberikan oleh mangsa.

Beberapa taktik dikesan yang digunakan penjenayah untuk mengumpan mangsa:

• Suspek akan membuat pemerhatian selama tempoh mana yang dikehendaki dan mengenal pasti mangsa terlebih dahulu
• Suspek akan berselindung di sebalik semak samun atau bahagian bangunan untuk memerhati mangsa sama ada bersendirian atau berkumpulan
• Suspek akan mengumpan mangsa dengan makanan atau permainan untuk mengekorinya masuk ke dalam kenderaan atau berjalan kaki
• Suspek juga akan mengumpan mangsa dengan menawarkan bantuan (sekiranya melihat mangsa berseorangan) atau berperwatakan baik yang akan menyelamatkan mangsa sekiranya berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Nasihat kepada PENJAGA:
• Jangan membiarkan anak-anak ke sekolah atau ke mana-mana tempat tanpa pengawasan.
• Sentiasa mengingatkan atau menasihatkan anak-anak menggunakan jalan yang terang dan ada orang ramai.
• Sentiasa mengingatkan atau menasihatkan anak-anak tidak menggunakan jalan pintas melalui semak samun, padang, tempat letak kereta atau berjalan belakang rumah atau kedai.
• Sentiasa mengingatkan atau menasihatkan anak-anak tidak mengambil atau menerima makanan dan minuman dan barang-barang yang diberikan oleh orang yang tidak atau baru dikenali. Mungkin ia mengandungi dadah, bahan pelali atau perangsang nafsu.
• Mengawasi anak-anak yang kurang siuman atau OKU supaya tidak terbiar dan terdedah kepada bahaya rogol.
• Memberi pendidikan kepada kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga tubuh badan mereka daripada dicerobohi.

Nasihat kepada WANITA dan REMAJA PEREMPUAN khususnya:
• Elak berjalan bersendirian.
• Membawa alat penggera peribadi.
• Sekiranya anda terpaksa bekerja sehingga lewat, pastikan ada orang lain dalam bangunan seperti penyelia atau pegawai keselamatan yang akan menunggu atau menemani anda.
• Jangan mempercayai janji-janji oleh bomoh atau ahli perubatan yang tidak bertauliah. Telah terbukti persetubuhan bukan satu cara untuk berubat tetapi satu penipuan.
• Ketika hendak gunakan kenderaan awam pastikan ada penumpang wanita lain bersama.
• Sekiranya merasakan diri diekori, tukar arah jalan atau lintas jalan.
• Sekali sekala menukar laluan kebiasaan (jika ada) bagi mengelak dijadikan sasaran. Aktiviti rutin yang sama setiap hari boleh memudahkan suspek merancang jenayah terhadap mangsa
SEKIRANYA menghadapi ancaman ROGOL:
• Undang-undang membenarkan hak untuk mempertahankan diri daripada dirogol dengan menggunakan kekerasan ke atas penyerang (perogol) sehingga boleh menyebabkan luka parah atau kematian ke atasnya.
• Bertenang dan tidak panik jika diugut atau diserang.
• Sekiranya anda membuat keputusan untuk melawan, pastikan anda benar-benar menguasai keadaan. Gunakan tangan atau kaki atau sebarang benda yang dibawa seperti beg tangan, payung, kunci dan sebagainya untuk melawan.
• Camkan muka dan tanda-tanda yang ada pada penjenayah itu serta pakaiannya dan juga nombor kenderaan yang digunakan.
• Untuk membantu penyiasatan polis, anda dinasihatkan supaya tidak membasuh badan dan pakaian yang dipakai sewaktu kejadian sebelum membuat laporan polis.

Sumber: PDRM

Doa Yang boleh dicuba untuk mengelakan Rogol Dan Cabul

Terdapat beberapa pertanyaan tentang doa yang khusus bagi kaum wanita samada dewasa dan kanak-kanak untuk mengelakkan mereka dari terperangkap dalam situasi yang boleh membawa kepada rogol, pencabulan dan lebih dahsyat lagi deraan seks yang diakhiri dengan pembunuhan.

Moga DiPelihara
Maka di sini, selain doa dari hadis sohih pelindung setiap kali keluar rumah yang telah saya paparkan di artikel berkenaan Al-Marhumah Nurin Jazlin sebelum ini. Iaitu :-

رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ

DALAM sebutan rumi : BISMILLAH ALLAZI LA YADURRU MA’ASMIHI SYAIUN FIL ARDI WA LA FIS SAMAIE , WAHUWAS SAMI’UL ‘ALIM

Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : “Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui” sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya” ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan – Teks doa berwarna Merah Syeikh Syuaib ; Hasan)

Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w.

اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ

DALAM SEBUTAN RUMI : ALLAHUMMA IN KUNTA TA’LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA ‘ALA ZAWJI FALA TUSALLIT ‘ALAYYA AL-KAFIR WA AZ-ZALIM

Ertinya : Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim” ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )

Semoga ia dapat dihafaz dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersoifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.

Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda.

Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis bukan Islam..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga anda. Bukan kerana Allah s.w.t tidak mampu, tetapi Allah s.w.t tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri.

Sumber: http://zaharuddin.net/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *