Skim GMBO RM1000 Untuk Usahawan Online

Skim GMBO

USAHAWAN KECIL DIMINTA REBUT SKIM GMBO (GET MALAYSIAN BUSINESS ONLINE)

CYBERJAYA – Usahawan kecil di negara ini diminta merebut geran RM1,000 yang disediakan di bawah skim Bantuan Perniagaan Dalam Talian Malaysia (GMBO)(Get Malaysian Business Online), bagi memajukan perniagaan mereka menerusi penggunaan Internet.

Ketua Jabatan Sekretariat Perancangan & Koordinasi Bahagian Pengurusan Jalur Lebar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Azizan Mohd Afandi berkata ramai usahawan kecil masih tidak mengetahui mengenai kemudahan bantuan berkenaan yang disediakan suruhanjaya itu sejak awal tahun ini.

Beliau berkata walaupun kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi 50,000 usahawan mikro dengan geran RM1,000 seorang sebagai langkah melonjakkan perniagaan dan taraf hidup mereka, namun sambutannya masih dingin.

“Memang ramai usahawan masih tidak tahu atau sedar mengenai adanya geran yang disediakan ini. Begitu juga ramai yang ingat geran ini hanya untuk golongan tertentu sahaja.

“Sebenarnya tidak. Ia terbuka kepada semua golongan usahawan (warganegara Malaysia) yang berumur 18-65 tahun. Jadi sesiapa sahaja boleh memohon,” katanya dalam satu temu bual khas dengan Bernama, di sini.

Begitu juga katanya penyertaan usahawan kecil Cina dan India terlalu kurang berbanding usahawan kecil Melayu, justeru promosi secara besar-besaran akan dilakukan bagi menyampaikan maklumat tersebut.

“Setakat ini secara kasar, permohonan dari kaum Cina merangkumi 20 peratus dan kaum India pula kurang daripada jumlah tersebut.

“Pihak kami akan memastikan promosi yang lebih menyeluruh dalam media-media massa untuk bahasa-bahasa lain (Cina dan Tamil) untuk memastikan maklumat berkenaan dengan geran ini dapat diterima oleh semua orang yang layak memohon,” katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya pendedahan geran GMBO juga akan ditingkatkan dengan kerjasama pihak tertentu seperti Amanah Iktihar Malaysia, New Enterprise Foundation, NGO, jabatan dan agensi kerajaan melalui pelbagai program dan aktiviti antaranya bengkel, pameran, taklimat dan penerangan bergerak.

Jelasnya, kerajaan mahu melihat usahawan kecil menggunakan internet sebagai saluran utama dalam meluaskan rangkaian perniagaan dan menembusi pasaran antarabangsa, tanpa mengharapkan kaedah konvensional semata-mata.

Menyifatkan kemudahan internet sebagai trend mempromosikan produk di serata dunia, Azizan berkata beberapa usahawan tempatan telah berjaya mengembangkan perniagaan mereka selepas mempromosi dan memasarkan hasil produk mereka secara efektif melalui internet.

Antaranya, seorang pengusaha rumpai laut dari Kunak, Sabah kini memperoleh pendapatan sehingga RM20,000 sebulan, berbanding RM450 sebulan sebelum ini.

Begitu juga seorang pengusaha bantal kekabu dari Sik, Kedah dapat meningkatkan hasil jualan dari 100 bantal kekabu kepada 100,000 bantal sebulan dengan pendapatan sekitar RM80,000 sebulan selepas mempromosi dan memasarkan melalui internet.

“Dengan adanya internet, pengguna di serata dunia dengan senangnya mendapat maklumat berkenaan barang-barangan yang dijual oleh usahawan–usahawan kita,” katanya.

Jelasnya, objektif geran adalah untuk membantu usahawan, terutamanya wanita yang sudah mempunyai produk perniagaan sendiri; untuk membantu membangunkan laman sesawang; meningkatkan atau menambahbaikkan laman sesawang sedia ada; serta melonjakkan perniagaan dengan menggunakan kemudahan laman web atau jualan atas talian.

Menurut Azizan, 10,000 permohonan yang diterima sehingga Julai, 58 peratus terdiri dari usahawan wanita manakala 42 peratus usahawan lelaki.

Katanya, walaupun terdapat 700,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdaftar di negara ini, hanya 10 peratus syarikat PKS yang mempunyai laman sesawang sendiri, iaitu suatu jumlah yang tidak membanggakan.

“Ada juga usahawan tidak rasmi yang tidak mendaftarkan perniagaan mereka di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Usahawan ini tidak layak (mendapatkan geran). Jadi kita nasihatkan mereka supaya segera daftarkan perniagaan mereka di SSM dan seterusnya memohon geran GMBO.

“Usahawan (yang memohon geran GMBO) perlu ada website atau laman sesawang yang menggunakan nama domain.com.my. Sebanyak 160 permohonan ditolak daripada 9,000 permohonan (sehingga Jun) yang kebanyakannya tidak mempunyai laman sesawang seperti yang diperlukan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bantuan geran yang merupakan sebahagian daripada peruntukan kerajaan dalam Belanjawan 2013 kepada SKMM, akan tamat pada 31 Dis ini.

Dalam pada itu, Azizan menjelaskan, pendaftaran laman sesawang boleh dilakukan dengan myDomain Registry manakala pembangunan laman sesawang boleh dilakukan dengan mana-mana agensi atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan pembangunan laman sesawang.

“Anda perlu mempunyai lawan sesawang (.com.my) atau (.my) bagi memasarkan perniagaan anda selain dari laman sosial yang digunakan. Anda juga boleh menggunakan domain lain seperti .net.my/.org.my/.edu.my.

“Anda juga boleh menggunakan kemudahan yang terdapat di www.getmybusinessonline.com.my untuk membina laman sesawang dan pengehosan percuma,” katanya.

Pemohon boleh melayari laman web gmbo.skmm.gov.my atau e-mel [email protected] untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim itu dan permohonan juga boleh dibuat secara atas talian melalui laman www.gmbo.skmm.gov.my.

Jika pemohon tiada akses internet, permohonan boleh dilakukan di Pusat Internet 1Malaysia yang berdekatan.

Jelasnya, permohonan akan disemak berdasarkan syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan dalam masa 30 hari bekerja dari tarikh permohonan dan sekiranya permohonan diluluskan, RM1,000 akan dikreditkan ke dalam akaun pemohon.

Keutamaan diberikan kepada usahawan mikro dengan jumlah pekerja (sepenuh masa) tidak melebihi lima orang atau pendapatan tidak melebihi RM200,000 setahun. – Bernama

Sinar Harian