Sejarah kehadiran Askar Gurkha di Malaysia

askar Gurkha

Rakyat Nepal atau “Gurkha” mula hadir dalam sejarah negara ini sejak 57 tahun lalu. Mereka mula menjejakkan kaki di Semenanjung (ketika itu dipanggil Malaya) pada tahun 1948.

Warga Nepal dibawa ke Malaya oleh British sebagai sebahagian daripada bala tenteranya. Askar British keturunan Nepal ini ditempatkan dalam unit khas yang dikenali sebagai Briged Gurkha’.

Briged Gurkha ditubuhkan di India pada tahun 1948 dan dihantar ke Malaya untuk menangani darurat.

Askar-askar Gurkha ini, walaupun bertubuh kecil tetapi sasa, memiliki sifat berani, berdisiplin, handal berperang dan kesetiaan yang tinggi. Bersama dengan askar tempatan, unit Gurkha berkhidmat di hutan memerangi komunis.

Keberanian dan kehandalan askar Gurkha tidak akan dilupakan oleh generasi selepas Perang Dunia Kedua. Namun generasi muda sekarang, hanya mengenali warga Nepal sebagai pengawal keselamatan yang berkawal di kompleks membeli belah, bangunan komersil dan pejabat-pejabat swasta di Lembah Klang.

Berani, berdisiplin

Kebanjiran pengawal keselamatan warga Nepal ini bermula sejak setahun lalu. Kini dianggarkan terdapat lebih 2,000 pengawal keselamatan Nepal berkhidmat di seluruh negara.

Fenomena ini berlaku kerana permintaan terhadap pengawal keselamatan Nepal ini amat tinggi. Pemilik pasaraya, bangunan dan premis perniagaan serta pejabat swasta dan agensi-agensi kerajaan, lebih gemar menerima pengawal keselamatan warga Nepal daripada rakyat tempatan.

Walaupun kos yang perlu dibayar untuk mendapatkan pengawal keselamatan Nepal ini lebih tinggi, namun majikan tidak keberatan kerana mereka didapati sangat berdisiplin, berani dan jujur ketika berkerja.

Persoalannya sekarang, tidakkah kehadiran warga Nepal ini akan menjejaskan periuk nasi rakyat tempatan atau menjejajaskan keselamatan negara?

Mereka akan memonopoli industri pengawal keselamatan tidak lama lagi dan lebih membimbangkan, ada di antara “Gurkha” ini ditempatkan di pejabat-pejabat kerajaan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *