Peniaga Emas Mangsa Kes Tembak Ke 4 Dalam Masa Seminggu

kes tembak

Seorang peniaga emas cedera terkena tembakan yang dilepaskan ke arahnya ketika kenderaan beliau berhenti di lampu isyarat Jalan Makmur, Pandan Indah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata dua lelaki yang menaiki motosikal Yamaha berwarna biru menghampiri kereta Toyota Camry yang dipandu peniaga itu pada pukul 8.45 pagi.

“Seorang daripada lelaki terbabit melepaskan tiga das tembakan ke arah peniaga emas itu menyebabkan Wong Foo Yui, 34, cedera di bahu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata dalam keadaan cedera, Wong memandu keretanya ke Balai Polis Pandan Indah, yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, untuk mendapatkan bantuan.

Amiruddin berkata Wong, yang berasal dari Jalan Klang Lama, kini dirawat di Hospital Ampang dan keadaannya dilapor stabil.