Pengalaman Kena Denda di Sekolah

Ramai kanak-kanak semasa di alam persekolahan mempunyai pengalaman kena denda di sekolah  atau hukuman yang melibatkan jasmani seperti dirotan, ditengking dan dipukul sama ada di negara ini mahupun di sekolah di luar negara. Begitupun, laporan oleh Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bertajuk Keganasan Terhadap Kanak-Kanak berpendapat, amalan itu hanya akan memberikan kesan negatif kepada emosi serta pelajaran mereka.

Laporan tersebut menyebut, hukuman denda dalam bentuk fizikal sebenarnya tidak memberi kesan positif kepada pelajar, malah lebih teruk lagi apabila mereka secara tidak langsung mula beranggapan bahawa keganasan boleh diterima pakai ketika berhadapan dengan masalah.

“Tindak tanduk seperti menengking, memukul dan hukuman denda yang melibatkan fizikal dan psikologi, berakhir dengan kesan kemarahan serta perasaan malu kepada pelajar tersebut,” ujar wakil UNICEF di Malaysia, Youssouf Oomar.

Beliau menambah, terlalu sedikit nilai positif yang diperoleh oleh pelajar yang pernah menjalani hukuman fizikal di sekolah

Sebaliknya, apa yang lebih merisaukan pelajar berkenaan hilang matlamat dalam akademik dan kurang bermotivasi untuk berjaya.

Laporan tersebut dijalankan dalam tempoh lima tahun menerusi lawatan dan pemantauan intensif daripada sembilan bahagian, termasuk kerajaan, orang awam dan kanak-kanak.

Di samping lawatan dan pemantauan, borang kaji selidik turut diedarkan kepada 133 kerajaan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Laporan yang dikeluarkan dua tahun lalu mendedahkan skop yang mengejutkan ke atas keganasan terhadap kanak-kanak , keluarga, komuniti terhampir mahupun komuniti yang lebih meluas.

Kebanyakan kanak-kanak mempunyai pengalaman merasai hukuman jasmani oleh individu yang sepatutnya melindungi mereka.

Dalam laporan yang sama, sekolah turut direkodkan sebagai kawasan hitam kepada pelajar yang pernah menjalani hukuman jasmani mahupun mereka yang pernah merasai pengalaman dibuli.

Laporan tersebut turut memberitahu, kanak-kanak yang diberi hukuman jasmani di sekolah mempunyai nilai moral yang lebih rendah dan cepat menjadi tertekan serta bersikap agresif.

“Hukuman jasmani mengikis kepercayaan pelajar terhadap guru dan sekolah mereka. Ia juga boleh menyebabkan pelajar tersebut menjadi tidak hormat dan mempunyai perasaan marah terhadap pendidik mereka, selain menyebabkan kanak-kanak itu menjadi kurang tindak balas terhadap sesuatu perkara.

“Kanak-kanak yang mempunyai sikap anti sosial, agresif dan berasa tertekan biasanya akan terbawa-bawa perangai tersebut sehingga mereka dewasa,” jelas Youssouf.

Di Malaysia, hukuman jasmani dilihat sebagai cara terbaik untuk mendisiplinkan pelajar yang mempunyai masalah disiplin serta salah laku.

Manakala, untuk kesalahan yang lebih serius seperti mencuri, merokok, gangsterisme dan buli menjadi penyebab mengapa rotan dan pembaris kayu panjang perlu ada dalam bilik darjah di negara ini.

Ada kalanya kesalahan kecil seperti tidak melakukan kerja rumah turut berhadapan dengan hukuman jasmani.

UNICEF percaya bahawa hukuman jasmani ini perlu dihapuskan kerana ia bersifat penganiayaan dan tidak berkesan dalam mendidik pelajar menjadi lebih baik dan berdisiplin.

Untuk mengukuhkan lagi kajian tersebut, Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak turut mengharamkan cara hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan tanpa mengira apa jua keadaan sekalipun.

Dalam hal ini, bagi memberi persekitaran yang baik untuk kanak-kanak, Youssouf mencadangkan cara alternatif bagi menggantikan hukuman jasmani, sekali gus meningkatkan prestasi pelajar dalam pelajaran dan keperluan psikologi mereka.

“Pelajar, pendidik, para guru dan ibu bapa mestilah bersama-sama berkongsi matlamat menjadikan suasana kelas yang lebih berdisiplin.

“Ia secara tidak langsung menggalakkan pelajar untuk memiliki sikap kawalan diri yang tinggi, keyakinan dan sifat hormat menerusi proses pembelajaran yang bukan bersifat keganasan.

“Kanak-kanak dengan sendirinya akan membetulkan tidak tanduk mereka sekiranya kita memberikan satu panduan yang positif.

“Dengan sumber yang betul dan pendekatan yang berkesan, pihak sekolah akan dapat juga mencari alternatif terbaik bagi menggantikan hukuman fizikal bagi memastikan generasi yang lebih positif dan lebih berkualiti pada masa hadapan,” katanya.

 

1 thought on “Pengalaman Kena Denda di Sekolah”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *