Letupan Meriam Besi Di Malam Aidilfitri

meriam

ABDUL MANAF MAT PIAH, 87, merupakan seorang salah warga emas tertua di Kampung Talang Changkat, Kuala Kangsar, Perak. Dia kini tinggal bersama isteri, Maheran Abdul Rahman, 78, di teratak kayu tinggalan nenek moyangnya yang berumur lebih 100 tahun sementara 12 orang anaknya mencari rezeki di seluruh pelosok tanah air.

Meniti usia senja, Abdul Manaf atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Hasan oleh penduduk kampung hanya beristirehat di kediamannya dan menghabiskan masa dengan beribadat.

Jika ada kelapangan, warga emas yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan itu pasti berbasikal ke kedai kopi berhampiran rumahnya untuk berjumpa dan berbual-bual dengan penduduk kampung.

Nama Pak Hasan begitu popular di Kampung Talang yang terbahagi kepada lima bahagian iaitu Talang Hulu, Talang Hilir, Talang Tengah, Talang Masjid dan Talang Changkat.

Selain dikenali sebagai orang paling veteren di Kampung Talang Changkat, kebanyakan penduduk kampung juga mengetahui bahawa dia merupakan waris tunggal yang memulakan tradisi bermain meriam buluh di kampung itu sejak tahun 1937.

Imbau kenangan

meriam

Sudah menjadi tradisi, Kampung Talang menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk di sekitar Kuala Kangsar, malah dari seluruh negara menjelang malam Hari Raya Aidilfitri setiap tahun. Ada yang datang dari negeri berlainan semata-mata untuk merasai pengalaman mendengar gegaran bunyi meriam besi yang dimainkan penduduk kampung.

Mengimbau kenangan Pak Hasan ketika sambutan Aidilfitri tahun 1937 bersamaan dengan 1356 Hijrah, ceritanya, ketika itu dia berusia 11 tahun dan Allahyarham datuknya, Pak Ndak Mat Amin merupakan antara individu pertama yang mengajarnya bermain meriam buluh.

Menurutnya, menjelang bulan Ramadan, dia dan empat lagi sepupu, Bahrin Salleh, Zulkifli Mat Kib, Aidin Abu Bakar dan Mohd. Bashah Abdul Rani akan berbasikal ke Kampung Buaya, Padang Rengas, Perak untuk mendapatkan buluh beting sepanjang 2 meter sebagai persediaan membuat meriam bagi dimainkan pada hari raya nanti.

MERIAM Kampung Talang mampu menarik ribuan pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang ke kampung tersebut pada malam raya.

“Jarak antara Kampung Talang Changkat yang dahulunya dipanggil Kampung Darat ke Padang Rengas kira-kira 10 kilometer. Walaupun penat berpuasa, kami berlima sanggup berbasikal sejauh itu bagi mendapatkan buluh terbaik untuk menghasilkan meriam.

“Usai kerja-kerja mencari buluh, kami membeli karbaid seberat 600 gram yang dijual di hadapan masjid pada harga 25 sen. Ketika itu, bahan bakar untuk meriam itu dijual secara terbuka kepada penduduk kampung,” ujarnya yang tidak pernah mengalami kecederaan sewaktu bermain meriam buluh.

Menurut bekas pemandu lori tentera British pada tahun 1950 itu, ketika dia dan sepupunya bermain meriam pada malam raya, penduduk kampung tidak pernah mengambil kisah dengan aktiviti mereka walaupun bunyi meriam itu memecah kesunyian kampung.

Ketika itu, dia bermain di kawasan hutan berhampiran rumah datuknya itu. Kini kawasan asal tempat dia bermain meriam itu dijadikan tapak Madrasah as-Saadah yang terletak berhampiran kawasan sawah padi kampung itu.

“Meriam buluh dibalut dengan karung guni sebelum diikat dengan dawai sebagai langkah keselamatan. Ia bertujuan untuk mengelakkan buluh pecah jika karbaid diletakkan secara berlebihan di dalam kartus iaitu pemampat di pangkal buluh,” ujarnya yang pernah bekerja sebagai penggali kubur di kampungnya.

Jelasnya, disebabkan tradisi permainan meriam buluh setiap tahun, penduduk kampung juga telah meminta kebenaran daripada pihak berkuasa untuk bermain meriam buluh di kampung itu sekitar tahun 1960-an.

Seiring dengan perubahan masa, permainan meriam buluh juga terkena tempiasnya. Kini, meriam buluh tidak dimainkan oleh penduduk Kampung Talang sempena Hari Raya Aidilfitri tetapi ia digantikan dengan meriam besi sejak tahun 1970-an.

ASRI menunjukkan kawasan semak berhampiran sawah padi Kampung Talang Changkat yang menjadi tempat penyimpanan meriam besi.

Permainan meriam besi bukan hanya diketahui oleh penduduk kampung malah ia tersebar luas di laman YouTube dengan carian Talang Canons. Sebuah pihak produksi persendirian tanah air turut mendokumentasikan permainan meriam besi di kampung tersebut dan telah ditonton ribuan orang.

Pada malam Aidilfitri setiap tahun, Asri Kamil Sabden, 45, merupakan antara individu penting dalam memastikan kelancaran permainan meriam besi di Kampung Talang.

Dia yang mudah disapa dengan panggilan Lop Kapten merupakan antara orang lama yang terlibat dalam persiapan dan permainan meriam besi di kampung tersebut sejak tahun 1985 sehingga kini. Dia juga antara wakil pasukan Tonggak dari Kampung Talang Hulu dalam pertunjukan meriam besi di kampung tersebut.

“Pada malam menjelang Aidilfitri, Kampung Talang umpama sebuah pesta. Selain enam pasukan dari kampung yang berbeza berentap menghasilkan bunyi meriam besi, penduduk kampung juga membuka gerai makanan dan pelancong membawa tikar untuk duduk bersama keluarga menikmati suasana ini,” ujarnya.

Menurutnya, perubahan permainan meriam buluh kepada meriam besi bermula sekitar tahun 1970-an. Ketika itu, seorang ahli kimia dari kampung tersebut mengeksperimen besi daripada penyedut pasir bagi menggantikan buluh.

“Permainan meriam besi lebih selamat jika dibandingkan dengan meriam buluh. Meriam besi tiada risiko pecah apabila karbaid digunakan secara berlebihan. Selain itu, bunyi letupannya juga lebih kuat,” ujarnya yang melakukan pekerjaan kampung untuk menyara kehidupannya.

ABDUL MANAF  berkongsi pengalamannya bermain meriam buluh sewaktu kecil dengan penduduk kampung dalam satu majlis keraian di pangkin Madrasah as-Saadah.

Pada tahun 1980-an, sebatang besi penyedut pasir yang sudah dibaik pulih dibeli daripada pembekal pasir pada harga RM35.

Medan pertempuran

Pada malam Aidilfitri, enam pasukan yang mewakili kampung berbeza iaitu Hilir, Anak Darat, Darat, Tonggak, Tonggak Kekabu dan Serai pasti menggegarkan suasana malam di Kuala Kangsar.

Tutur Lop Kapten, meriam-meriam itu disimpan di kawasan sawah padi dan hanya akan diambil oleh penduduk kampung menjelang bulan Ramadan. Sebagai persiapan, mereka turut mengecat meriam besi itu dengan pelbagai warna bagi melambangkan kumpulan masing-masing.

Medan utama pertempuran bagi keenam-enam kumpulan itu ialah di kawasan sawah padi dianggarkan berukuran empat hektar yang menjadi pemisah di antara Kampung Talang Changkat dan Kampung Talang Tengah.

Besi penyedut pasir yang digunakan lebih tahan lama. Tiga daripada besi untuk permainan meriam dalam pasukan Lop Kapten digunakan sejak tahun 1987 dan ia masih kukuh tanpa sebarang kerosakan.

“Setiap ahli pasukan pasti menyumbang bagi membeli kos karbaid dan cat untuk mengecat meriam. Bagi setiap pasukan, dianggarkan sekotak karbaid 25 kilogram berharga RM100 digunakan sepanjang malam itu. Setiap kotak mengandungi 25 kampit karbaid.

“Pada malam itu, ciri keselamatan merupakan antara aspek yang ditekankan. Di sekeliling kawasan permainan, penduduk kampung meletakkan tali pita keselamatan agar pelancong tidak menghampiri kawasan itu,” ujarnya yang khuatir kartus akan terpelanting terkena pelancong sekiranya mereka berada berdekatan.

Menurut Lop Kapten, sejak tahun 2005, pelancong dari dalam dan luar negara semakin meningkat.

“Aktiviti bermain meriam pada malam hari raya merupakan salah satu cara penduduk mengekalkan tradisi turun-temurun di kampung. Kami dibesarkan dengan bunyian meriam pada malam raya. Tiada bunyi meriam maka tidak berertilah Aidilfitri bagi kami,” ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Talang Hulu baru-baru ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *