Kes Kehilangan Kevin Morais

Kevin Morais

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap tidak ada mana-mana pihak membuat spekulasi tidak berasas mengenai berita kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Kevin Anthony Morais.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Azam Baki dalam satu kenyataan juga tidak mahu mana-mana pihak mengaitkan kejadian ini dengan mana-mana siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM, dan juga siasatan polis berhubung kebocoran maklumat.

Azam turut berharap Kevin Morais ditemui dengan selamat secepat yang mungkin.

“(Kami) berharap keluarga beliau akan bersabar sementara pihak Polis Diraja Malaysia sedang bertindak untuk mengesan beliau,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Tambahnya, Kevin Morais pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, SPRM dan telah mewakili SPRM sebagai Timbalan Pendakwa Raya selama hampir 10 tahun sebelum kembali ke Jabatan Peguam Negara pada 1 Julai 2014.

“Beliau seorang yang sangat berdedikasi dan berkomited dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab sebagai Timbalan Pendakwa Raya, serta seorang yang sangat peramah.

“Sepanjang tempoh bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Kevin Morais telah mengendalikan banyak kes berprofil tinggi dan sehingga kini masih mengendalikan beberapa kes melibatkan SPRM,” katanya.

Difahamkan kali terakhir dia dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta untuk keluar bekerja pada pagi Jumaat lalu, menggunakan kenderaan rasmi kerajaan dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan masih dijalankan untuk memastikan jika kes kereta rentung yang ditemukan di Hutan Melintang ada kaitan dengan kes kehilangan Kevin Morais yang dilaporkan hilang sejak Jumaat.

Sumber:http://www.astroawani.com/berita-malaysia/jangan-buat-spekulasi-tidak-berasas-tentang-kehilangan-kevin-morais-sprm-72412

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *