Jangan Terpengaruh Dengan Pil Cerdik Pandai

pil cerdik

Ibu bapa dan pelajar diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan promosi jualan pil suplemen yang didakwa mampu menyebabkan pelajar cerdik seterusnya lulus peperiksaan awam.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, ini kerana kecemerlangan dalam peperiksaan adalah melalui proses pembelajaran yang betul dan normal.

“Tidak ada jalan pintas untuk mencapai kecemerlangan kerana untuk mendapat ilmu anda perlu berusaha dengan cara normal iaitu mengikuti pelajaran semasa proses pengajaran dan pembelajaran oleh guru.

“Maka itu saya menasihati pelajar mahupun ibu bapa agar jangan terpengaruh dengan promosi jualan suplemen yang dikatakan terus membuat pelajar lulus peperiksaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Wanita Pekebun Kecil RISDA Sarawak di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan terdapat promoter mempromosikan pil cerdik yang kini sudah mula menular di Sarawak.

Pil ‘Diamond 108’ itu juga didakwa mampu menyebabkan pelajar lulus ujian, dikatakan kini sudah mula diedarkan risalahnya di sekolah-sekolah khasnya di Miri.

Fatimah berkata beliau percaya promosi itu berleluasa memandangkan saat peperiksaan awam kini hampir tiba.

“Suplemen atau apa sahaja yang dipasarkan dan dipromosikan supaya anak kita lulus peperiksaan perlu ada persoalannya di situ… bagaimanapun jika ia suplemen seperti vitamin untuk kesihatan badan dan tambahkan zat-zat lain, itu memang penting,” tegasnya.

Ditanya nasihat kepada pihak sekolah yang memberi kebenaran orang luar masuk ke kawasan sekolah beliau berkata, ia sememangnya peraturan sebelum ini.

Tambahnya sesiapa sahaja yang mahu masuk ke pekarangan sekolah perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak sekolah iaitu pengetua mahupun guru besar.

Kata beliau tidak ada sesiapapun yang dibenarkan sewenang-wenangnya masuk ke dalam kawasan sekolah untuk mengedarkan risalah kepada pelajar.

“Malahan jika ada yang mahu mempromosikan buku rujukan atau alat bantuan mengajar mereka perlu berjumpa dengan pengetua atau guru besar, yang akan mempertimbangkan dibenar masuk atau tidak.

“Untuk kes (edar risalah pil cerdik) ini saya tidak tahu bagaimana modus operandi mereka kerana apa yang saya tahu prosedur sekolah sesiapa sahaja yang masuk perlu ada kebenaran,” ujar beliau.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *