Jangan Cemar Gelaran Ayahanda – Syed Husain Al-Shahab

Syed Husain Al-Shahab

“Gelaran Ayahanda hanya diberikan kepada individu terpilih untuk memimpin dan mendidik ahli menjadi seorang yang patuh kepada ajaran Islam, taat kepada pemerintah serta mendokong perlembagaan,” kata Pengasas Pertubuhan Persahabatan Malaysia (SAHABAT) Syed Husain Al-Shahab.

Sehubungan itu, pihaknya menafikan pembabitan mana-mana Ayahanda dalam kegiatan menyebarkan ajaran sesat di sebuah gua negeri di pantai timur seperti mana dilaporkan akhbar ini Isnin lalu. Menurut Syed Husain, tindakan lelaki berusia 60-an itu menggunakan gelaran Ayahanda mencemarkan reputasi gelaran berkenaan yang diguna pakai pihaknya.

“Kami berharap pihak berkuasa agama juga dapat mengambil tindakan kepada lelaki itu dia kerana sudah menyalahgunakan gelaran Ayahanda.

“Kegiatan bertentangan yang dilakukan individu ini juga sudah menjejaskan serta mencemarkan reputasi gelaran Ayahanda,” katanya ketika ditemui bersama 40 ahli pelbagai pertubuhan selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, tengah hari semalam. Beliau berkata, pihaknya juga meminta mana-mana individu yang tidak sama hala tuju dan matlamat dengan pertubuhan berkenaan tidak lagi mengguna pakai gelaran Ayahanda sehingga mengundang kekeliruan serta persepsi kurang baik masyarakat dan pihak berkuasa.

“Perkataan Ayahanda diambil daripada bahasa sastera Melayu yang diguna pakai dalam istana oleh Kesultanan Melayu dari dulu lagi. Malah ia turut digunakan dalam bahasa persuratan Melayu yang mempunyai nilai tinggi,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *