Internet Jejas Hari Raya

HARI RAYA sinonim dengan budaya ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan sesama sanak-saudara dan sahabat-handai yang dilihat bertujuan untuk mengeratkan silaturahim sesama umat Islam.

Keadaan berkenaan lebih bermakna jika sanak-saudara hanya dapat berkumpul setahun sekali sahaja menjadikan satu Syawal sebagai hari melepaskan rindu setelah sekian lama tidak bertemu.

Jika dihayati salah satu bait lirik lagu Salam Aidilfitri dendangan penyanyi Jamal Abdillah, ungkapan ‘Semoga lebaran ini membawa keinsafan diri’ sebenarnya memberi 1,000 makna dalam penerapan ikatan ukhuwah melalui sambutan perayaan utama umat Islam berkenaan.

Bagaimanapun, nilai-nilai persaudaraan Aidilfitri kini kian luntur apabila budaya ziarahi dan bertegur-sapa sudah tidak lagi wujud apabila generasi muda sibuk melayani Internet dan permainan video di telefon pintar.

Kebimbangan sama turut disuarakan oleh personaliti agama, Mohamed Hanafiah Abdul Malek dengan beliau menyimpulkan jika situasi berterusan, masalah berkenaan boleh menghakis nilai-nilai persaudaraan Islam.

Ujar beliau, terdapat dua tanggungjawab sebagai Muslim dalam meraikan Aidilfitri iaitu bersalaman dan ziarah-menziarahi. Jika tanggungjawab berkenaan tidak dilaksanakan, maka rosak keharmonian Syawal.

Mohamed Hanafiah berkata, Islam menegah perbuatan lagra atau lalai dengan melayani sesuatu perbuatan sehingga matlamat sesuatu ibadah tidak tercapai dengan kelekaan berkenaan.

“Bayangkan anak-anak balik beraya, mereka sibuk layan iPad, main permainan telefon bimbit dan Internet. Jadi bila masa hendak bertegur-sapa dengan sepupu masing-masing sedangkan jumpa setahun sekali.

“Ibu bapa merupakan individu paling layak dalam menangani masalah itu. Nasihat atau larang anak-anak jangan layan gajet dan Internet. Kalau hendak bermain sekalipun pilih waktu yang sesuai,” jelas Mohamed Hanafiah.

Selain itu, tambah beliau, anak-anak wajar diterangkan berkenaan kelebihan mengeratkan talian silaturahim dan keberkatan di sebaliknya sambutan Syawal kepada umat Islam.

Kebimbangan sama turut disuarakan oleh Presiden Blackberry User Group Malaysia, Nelson Rizal Radzmi dengan melihat peranan ibu bapa seharusnya menangani masalah itu yang sering berlaku pada Aidilfitri.

Nelson menjelaskan, situasi tidak bertegur-sapa dalam kalangan generasi muda akan bertambah buruk jika ibu bapa sendiri mengekang atau mengehadkan penggunaan Internet terhadap anak-anak.

Ujar beliau, berbanding beberapa tahun sebelum ini, apabila masing-masing menanam azam apabila pulang beraya, mereka ingin bertemu dan beramah mesra sesama sanak-saudara.

“Sebab itu kita risau dengan perkembangan teknologi jika tidak digunakan sebaiknya.

“Oleh demikian, kita sebagai anggota masyarakat harus bersama-sama menangani gejala berkenaan, sebelum lahirnya warga tidak bertegur sapa antara satu sama lain pada masa akan datang,” jelas [email protected]Utusan.com.my

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *