Hantaran Perkahwinan Tanda Cinta

hantaran perkahwinan

Dalam adat perkahwinan orang Melayu, selain tarikh, mas kahwin dan wang hantaran perkahwinan, perkara yang menjadi topik perbincangan ialah barang hantaran. Barang hantaran yang lebih membawa maksud sebagai hadiah kepada pasangan, turut ditentukan untuk dibawa oleh kedua-dua pihak sama ada sepersalinan atau serba satu. Kemudian jumlah bilangannya, inilah yang unik dalam perkahwinan masyarakat Melayu.

Adat berbalas-balas hantaran adalah simbolik kepada tanda kasih sayang kedua-dua pasangan tersebut.

Kini, hantaran turut mempunyai konsep dan warna yang ditentukan oleh pasangan pengantin. konsep moden, Inggeris, tradisional menjadi pilihan. Manakala warna-warna seperti perak, emas, firus, hijau epal, merah samar malah untuk kelihatan unik, warna hitam turut dipilih.

Konsep tradisional bersangkar separuh menjadi pilihan kali ini. Bakul mengkuang yang disaluti dengan kertas krep hijau epal diindahkan lagi ikatan reben dan ranting perak dan emas menceriakan lagi hantaran yang diletakkan buah-buahan, alat solek, beg tangan, jam tangan dan pewangi.

Manakala bagi yang gemar dengan warna perak, kuning, emas dan firus, gabungan permainan reben dan bunga-bungaan akan menaikkan seri hantaran tersebut dan ia dilihat lebih eksklusif.

Sementara itu, kini trend penggunaan bungaan segar lebih kepada pemberian lelaki kepada wanita manakala pemberian wanita kepada lelaki menggunakan bungaan tiruan.