Gunnar Solskjaer Berada Di Landasan Terbaik Untuk Dilantik Sebagai Pengurus

solskjaer

Legenda Arsenal, Martin Keown berpendapat bahawa pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer kini berada di landasan terbaik untuk dilantik sebagai pengurus tetap pasukan itu.

Solskjaer tiba di Old Trafford pada pertengahan Disember tahun lalu selepas pihak pengurusan pasukan itu membuat keputusan memecat Jose Mourinho.

Pengurus dari Norway itu dilihat memberi sinar baharu di United apabila mencatat lima kemenangan berturut-turut dalam lima perlawanan yang dikendalikannya.

Bagaimanapun, beliau bakal berdepan cabaran sebenar apabila bakal berdepan Tottenham Hotspur di Wembley awal pagi esok.

Bagi Keown, Solskjaer ialah calon terbaik ketika ini untuk kekal membimbing United dan calon terbaik untuk dilantik sebagai pengurus tetap.

“Pada saya, beliau sudah berada ‘di kerusi’ untuk jawatan itu dan kejayaan menewaskan Spurs nanti hanya akan menambah keyakinan ramai pihak bahawa Solskjaer ialah pilihan yang tepat.

“Beliau menyuntik kembali tradisi dalam bilik persalinan United bahawa mereka ialah sebuah pasukan yang bagus. Para pemain United sebelum ini seperti kehilangan arah tetapi kehadirannya membuatkan mereka kembali fokus.

“United kini seperti gergasi yang dikejutkan daripada lena yang panjang,” katanya kelmarin.

Keown turut mengaitkan kehadiran Solskjaer ke United seperti kejayaan Gareth Southgate membimbing England mara ke pentas separuh akhir Piala Dunia yang lalu.

“Ada persamaan antara Solskjaer dan Southagate. Sejak sekian lama Southagate sudah bersama Persatuan Bola Sepak England tetapi beliau tidak diberikan kepercayaan tetapi lihat sahaja hasilnya di Piala Dunia lalu.

“Jika mereka (United) berjaya menewaskan Spurs kali ini, saya yakin United akan berjaya berada di kelompok empat pasukan terbaik.

“Solskjaer perlu melakukannya kerana ia akan menyukarkan United memberi jawatan itu kepada calon lain,” jelasnya. – Agensi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *