Fiffy Natasya Nikah 29 SEPTEMPER

Fiffy Natasya

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi remaja, Fiffy Natasya, 21 akan melangsungkan pernikahan dengan Muslim Azman, 27, pada pagi 29 September ini di kediaman keluarganya di Putra Height, Subang. Ia diikuti dengan majlis persandingan sebelah malam hari yang sama.

Majlis persandingan akan berlangsung di Dewan Sri Melati, Presint 3, Putrajaya. Fiffy dan Muslim yang juga seorang juruterbang di sebuah syarikat penerbangan bertunang pada 21 Disember lalu.

“Dalam tempoh pertunangan itu biasalah kalau ada gaduh manja dan salah faham. Tapi tidaklah sampai berpanjangan. Alhamdulillah kami mampu atasinya. Insya-Allah, tanggung jawab akan lebih bertambah selepas kami bergelar suami isteri.

“Konsep majlis persandingan nanti ada campuran moden dan tradisional. Ia bertemakan Crystal Sparkle kerana ada dekorasi kristal dan sentuhan tradisional itu lebih kepada pakaian yang akan dipakai saya serta tetamu. Saya dan bakal suami akan mengenakan songket.

“Majlis bertandang sebelah suami belum ditetapkan lagi tarikhnya. Berkemungkinan hujung tahun ini dan ia akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan,” kata Fiffy kepada BH Online.

Menurut Fiffy, seiring dengan status isteri yang bakal diterimanya nanti, beliau akan memperlahankan kerjaya seni. Apatah lagi sejak lima bulan lalu, Fiffy sebenarnya sudah bertudung sepenuhnya.

“Lepas bergelar isteri ini saya kena utamakan suami dan rumah tangga. Jadi kenalah pilih watak yang sesuai. Saya kena memilih watak sekarang dengan imej yang saya pilih juga. Niat bertudung ini sudah lama berputik. Sejak tahun lalu dan sebelum nak kahwin lagipun.

“Soal bertudung ini seperti dipermudahkan apabila saya memilih untuk menamatkan zaman bujang. Macam dulu, saya tak boleh bertudung sepenuhnya kerana tak mahu dikatakan cakap tak serupa bikin dengan komitmen berlakon yang memerlukan saya menampakkan rambut,” katanya.

Mengenai anak, Fiffy dan bakal suaminya berserah kepada rezeki. Kali terakhir Fiffy menjalani penggambaran drama sebelum raya lalu. Selepas itu, beliau fokus kepada persiapan perkahwinan yang sudah 70 peratus siap. Selamat berbahagia Fiffy dan Muslim

Fiffy memulakan kerjaya seninya sejak usia sembilan tahun. Awal pembabitan seninya, dia pernah menganggotai kumpulan nyanyian Wardah, selain pernah muncul dengan beberapa single berkonsep J-Pop termasuk lagu Kawaii dan Cinta Playboy.

Sumber: http://www.bharian.com.my/