Dadah Mushroom Atau Khat Membuatkan Pengambilnya Menjadi Zombie

Dadah Mushroom

Trend pengedaran dadah­ di negara ini semakin membimbangkan apabila satu dadah baharu jenis sintetik yang diberi nama panggilan mashroom atau khat bukan sahaja mengkhayalkan ma­lah mampu membuatkan pengambilnya menjadi seperti mayat hidup atau zombie, kini dikesan kian agresif dijual di sekitar ibu negara.

Dadah yang diberi nama panggilan mushroom atau khat itu semakin mendapat sambutan khu­susnya dalam kalangan pe­ngunjung kelab-kelab malam dan dijual dengan harga tinggi iaitu RM300 untuk lima gram.

Dijual dalam bentuk serbuk, dadah tersebut akan dicampur dengan kopi atau minuman panas untuk diminum selain di­adun dengan tembakau sama ada untuk dihisap seperti rokok atau dijadikan seperti sireh.

Difahamkan, fikiran pengambilnya akan melayang selain secara fizikal mengalami tempoh tidak sedar diri selama lima minit dan didakwa kemuncaknya akan membuatkan penggunanya berada dalam keadaan ‘menggembirakan’.

Menurut sumber, dadah tersebut dikesan menembusi pasaran tempatan sejak tahun lalu dan kini sudah aktif dijual di premis hiburan sekitar ibu negara mulai tahun ini.

Jelas sumber, bahan sintetik itu juga boleh dikatakan sama seperti dadah berbahaya, flakka yang menjadikan seseorang itu tidak sedar diri dan kelihatan se­perti zombie seperti yang dilaporkan semakin menular pengambilannya di Amerika Syarikat.

“Namun perbezaannya kesan flakka akan membuatkan penggunanya menjadi agresif sedangkan mushroom atau khat ini akan menjadikan pengambilnya duduk setempat tidak sedarkan diri ibarat ‘mayat ber­nyawa’.

“Ada pengambil yang mendakwa, selepas mengambil dadah tersebut ‘roh’ mereka akan keluar dari jasad dan terbang selama lima minit sebelum sedar kembali,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Tambah sumber, hasil ujian patologi mendapati dadah baharu itu dikategorikan sebagai New Psychoactive Substance (NPS).

“Ini merupakan trend dadah baharu dan paling merunsingkan, pengambilannya tidak akan memberi kesan terhadap ujian air kencing dijalankan.

“Ini bermakna tiada tindakan boleh diambil terhadap penggunanya berikutan mereka tidak positif dadah,” ujarnya.

Kata sumber, faktor itu dipe­ngaruhi oleh penghasilannya yang menggunakan bahan kimia tidak menyalahi undang-undang dan belum dijadualkan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *