Bangkitkan Aura Romantik Malam Pertama

bilik pengantin,kamar pengantin,dekorasi bilik pengantin

Siapa sahaja pasti akan terpikat melihat keindahan kamar beradu yang romantik dan mendamaikan. Apakah lagi, pasangan pengantin baru yang pasti mendambakan sebuah kamar yang indah sebagai melayari detik indah malam pertama.

Biarpun dekorasinya kelihatan ringkas, namun elemen romantik, selesa dan tampak ekslusif harus diutamakan. Dalam membangkitkan keindahannya, pastikan pilihan dekorasinya bertepatan dengan kehendak dan cita rasa bersama.

Tip Menghias Kamar Pengantin

1. Konsep mengikut keluasan

Sebelum menghias kamar tidur, kenal pasti ukuran dan keluasan kamar bagi memudahkan penyesuaian antara perabot dan dekorasi pilihan. Bincang bersama pasangan tentang konsep dan tema yang ingin diterapkan dalam kamar beradu agar anda berdua selesa berada di dalamnya.

2. Cat Bagi Menambah Seri

Bagi membangkitkan seri kamar yang hambar, cat dinding kamar dengan warna kesukaan anda berdua. Pilihan rona lembut seperti krim, kuning cair, peach dan coklat cair pasti boleh disesuaikan dengan pelbagai tema dan konsep. Jika ingin menggunakan kertas dinding pastikan pemasangannya dibuat dengan teliti dan kemas.

3. Kesesuaian Perabot

Pilih perabot yang ringkas, sesuai dengan keluasan kamar dan berkualiti. Ketika memilih cadar, pastikan fabriknya terbaik seeloknya 100% kapas. Utamakan keselesaan dalam membuat pilihan agar malam pertama anda tidak terjejas akibat cadar yang tidak selesa.

4. Tambahan Aksesori

Agar katil tidak nampak kosong, letakkan beberapa biji kusyen kecil di atas katil. Pastikan warna kusyen yang dipilih senada dengan rona cadar. Namun, jangan terlalu banyak sehingga tampak berserabut. Agar kelihatan lebih menarik , taburkan kelopak bunga ros di atas katil mengikut cita rasa anda.

5. Penggunaan Rona Lembut

Bagi mengelakkan anda tersalah konsep, sebaiknya jadikan rona lembut atau natural sebagai pilihan. Ini akan membangkitkan keselesaan tersendiri pada ruang kamar tersebut. Penggunaan rona lembut juga akan memberi refleksi lebih luas bagi kamar yang agak sempit.

6. Fabrik Berkualiti

Beri penekanan terhadap terhadap pilihan fabrik dan rekaan langsir. Serlahkan tema yang sama terutamnya dari segi pilihan warna. Pilih fabrik lembut yang mampu beralun indah apabila digantung serta berkualiti bagi menampung kemasukan cahaya matahari ke dalam kamar.

7. Perhiasan Kecil

Letakkan dua meja kecil pada kedua-dua bahagian kepala katil anda. Hiaskan meja tersebut dengan bunga segar yang diletakkan di dalam vas kaca. Jika alah terhadap bunga, anda boleh menggantikannya dengan lampu meja, potpuri atau lilin aromaterapi. Namun, pastikan lilin yang dipasang jauh daripada bahan yang mudah terbakar.

8. Bangkitkan Keghairahan

Ketika menghias kamar, pastikan segala perhiasan tidak menghalang aliran udara terutamanya penghawa dingin dan tingkap. Pastikan juga, kamar sentiasa berbau harum dengan mamasang haruman aromaterapi untuk membangkitkan mood yang tenang dan romantik.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *