Agong Letak Jawatan | SULTAN Muhammad V Meletakkan Jawatan Sebagai Yang di-Pertuan Agong

agong letak jawatan

Agong Letak Jawatan. SULTAN Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata, peletakan jawatan baginda itu dibuat selaras Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan dan sudah dimaklumkan secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

Katanya, sepanjang menjalankan tugas, baginda sudah berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua negara dan berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan dalam kalangan rakyat.

Berikut merupakan kenyataan penuh Istana Negara:

“Bagi menjujung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini lstana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa 6 Januari 2019 (Ahad) bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras dengan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Baginda telah memaklumkan perkara ini secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang telah diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-raja.

“Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, Baginda telah berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat.

“KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja yang telah memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV bermula 13 Disember 2016.

“Baginda juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah memberi kerjasama dalam mentadbir negara. Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada Baginda dan negara selama ini.

“Kepada rakyat Malaysia, KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaufat ini supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni.”

Info Sultan Muhammad V

Nama sebenar: Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra

* Menggunakan gelaran Sultan Muhammad V selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010

* Mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2016

* Baginda menggantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’ adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada tarikh tersebut.

* Istiadat pertabalan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 diadakan pada 24 April 2017

* Lahir di Kota Bharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969

* Putera sulung daripada empat beradik kepada Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid

* Tiga adinda baginda ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, 45; Tengku Muhammad Fakhry Petra, 41, dan Tengku Amalin A’ishah Putri, 33 tahun.

* Berusia 50 tahun

* Dimahkotakan sebagai tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985 dan diangkat sebagai Pemangku Sultan Kelantan pada 24 Mei 2009.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *