
BANGKOK – Sekurang-kurangnya enam orang cedera dalam dua letupan bom di Hat Yai yang merupakan bandar komersial utama di Selatan Thailand, kata pihak berkuasa semalam.
Letupan itu menggegarkan bandar berkenaan dengan sebutir bom diletupkan berhampiran sebuah kedai serbaneka manakala letupan kedua berlaku dekat beberapa flat yang dibina bagi menempatkan anggota-anggota polis tempatan.
Rakaman televisyen menunjukkan asap tebal kelihatan berdekatan flat itu ketika pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan api.
Bom tersebut dipercayai disembunyikan di dalam sebuah motosikal yang diletakkan di lokasi kejadian.
“Terdapat dua serangan bom dengan sekurang-sekurangnya enam orang cedera tetapi tiada mangsa yang parah,” kata Gabenor Wilayah Songkhla, Grisda Boonrach.
Polis tempatan yang mengesahkan angka kecederaan memberitahu, letupan berlaku selang masa 25 minit.
Serangan itu disyaki dilakukan oleh kumpulan gerila pemisah Islam yang bergerak aktif di tiga buah wilayah selatan Thailand.
Ketua Polis Wilayah Songkla, Akapop Prasitwattanachai, berkata hanya dua letupan berlaku dan bukan empat seperti dilaporkan lebih awal.
Letupan pertama berlaku pada jam 1.30 petang di hadapan kedai runcit 7-11 di Jalan Polpichai.
Ia merupakan bom buatan sendiri dipasang pada motosikal dan diletupkan dengan mengguna jam digital, kata beliau.
Bom kedua seberat 50 kilogram dipasang dalam kereta yang diletak di tempat letak kereta di sebelah Balai Polis Daerah Hatyai.
Ia diletupkan pada 1.55 petang menyebabkan lebih sepuluh buah kereta milik pegawai polis dan kereta tahanan polis terbakar.
Kebanyakan cermin bilik flat kediaman polis empat tingkat yang terletak bersebelahan musnah akibat kekuatan letupan itu.
Pihak polis belum mengenalpasti kumpulan yang mendalangi serangan itu.
Dalam pada itu, agensi berita Bernama melaporkan, jurucakap pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla ketika dihubungi mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden itu. – Agens
Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz31188k2j7
No Responses to “Letupan BOM Gegar HatYai Thailand”